Pelancungan

 

Terdapat beberapa tempat pelancongan yang menarik di Daerah Kulim seperti Hutan Lipur Sungai Sedim (Arus Deras, Air Terjun Junjong, Mukim Junjong dan Ulu Paip Mukim Karangan).  Disamping itu terdapat juga rumah bersejarah iaitu Kampung Lindungan Raja.

Hutan Lipur Sungai Sedim


 Hutan Lipur Sungai Sedim (Arus Deras) , Karangan, Kulim telah disenaraikan dalam kategori lima lokasi pilihan di Asia Pasifik.  Ianya dipenuhi  24 jeram sepanjang 15 kilometer.  Menjadi pilihan kaki lasak untuk berkayak serta berakit sambil melalui beberapa cabaran jeram seperti salak, Kasai, Kawah dan Tiga di sepanjang sungai itu.  Para pengunjung boleh juga berekreasi, berkhemah dan mengikuti trek ke puncak gunung Kelebihan kawasan ini yang terletak di Hutan Simpan Gunung Inas,  kira-kira 33 kilometer dari Bandar Kulim ialah kewujudan jambatan gantung sepanjang 950 meter yang memberi peluang pengunjung menikmati pemandangan jeram dari ketinggian 50 meter.  Untuk pengunjung yang gemarkan merentas hutan, trek sepanjang 1,454 meter menanti untuk diredah seperti ke Gunung Inas atau Gunung Bintang Utara (1,835 meter), Gunung Bintang dan sehingga ke banjaran Bintang.  Pengunjung tidak perlu risau memikirkan tempat penginapan kerana terdapat Bintang Sedim Villa Resort yang menyediakan tempat penginapan asrama untuk 100 pelawat. 

Kemudahan lain yang disediakan termasuk surau, bilik persalinan pakaian, bilik seminar, kafeteria serta kedai cenderamata.

  


KAMPUNG SEDIM : Kampung Lindungan  Raja

Daerah Kulim adalah sebuah daerah yang tertua disamping Bandar Baharu  (dahulunya Krian), Kubang Pasu (dahulunya Changlon) dan Kuala Muda yang diasaskan pada tahun-tahun akhir abad kesembilan belas di zaman pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.  Nama Sedim dari sebutan asalnya “Sidim atau ” atau “Sidin” telahpun tercatat dalam sejarah sejak Kedah belum menerima Islam lagi.  Kampung Sedim terletak kkira-kira 33 kilometer dari Bandar Kulim, dalam Daerah Kulim.  Kampung Sedim dipagari oleh kawasan Hutan Simpan Gunung Inas dan Gunung Bintang dibelah timurnya, manakala diselatannya mengalir Sungai Sedim yang memisahkan antara Daerah Kulim dengan Daerah Baling.  Kampung Sedim diasaskan oleh haji Mohd Yasin bin Abdul Mutalib yang bertugas sebagai Penghulu Mukim Sedim sejak Perang Dunia Pertama lagi.  Rumah Lindungan Raja ini telah wujud dalam tahun 1353 Hijrah ( 1934 Masihi) .  Rumah bumbung perak beratap zink ini diperbuat daripada kayu jenis keras dan bermutu tinggi.  Dindingnya berukiran seni berbentuk pucuk buluh.  Ketika berlakunya peristiwa tersebut yang juga dikenali sebagai “Peristiwa Sedim”, YTM Tunku Abdul Rahman (selepas ini disebut “Tunku” sahaja) ketika itu bertugas sebagai Pegawai Daerah Kulim. Dan menjelang meletusnya Perang Dunia Kedua Tunku juga dilantik selaku Penolong Pengarah Pertahanan Kedah Selatan.
           
Sehari sebelum Rombongan Diraja itu bertolak, Tunku telah menerima maklumat daripada iparnya Syed Omar Shahabudin melalui telefon. Tunku tidak bersetuju dengan tindakan yang diambil itu kerana menurutnya, “…the Sultan should remain with people, though not necessarily in Alor Setar.” (Tan Sri Dato’ Mubin Sheppard, hal. 72).
           
Kata-kata yang hampir serupa itu juga pernah diulanginya lagi ketika berucap merasmikan Batu Kenangan di Kampung Lindungan Raja, Sedim pada 14 Disember 1979. Antara lain kata Tunku, “Bahawa tidaklah patut bagi seorang Sultan meninggalkan negerinya di dalam keadaan perang begini, sedangkan rakyat masih memerlukannya.” (Wan Said Wan Yusof: 1979, hal. 3). Tunku kemudiannya mengambil keputusan untuk bertindak segera bagi menggagalkan pemergian Rombongan Diraja itu. Ketika Rombongan Diraja itu tiba di Kepala Batas, Seberang Perai, Tunku bersama rakannya Syed Abu Bakar Al-Idrus, Merinyu Kesihatan Daerah Kulim, berjaya menghalang rombongan itu daripada meneruskan perjalanan ke Butterworth. Sebaliknya Kereta Rolls Royce yang membawa Paduka Ayahandanya dilencongkan perjalanannya ke Kulim. Beberapa buah kereta lain yang mendahului kereta yang dinaiki oleh Tuanku Sultan meneruskan perjalanan menuju ke Pulau Pinang dan ini termasuklah kereta yang dinaiki Oleh Raja Muda, Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Badlishah. Bagaimanapun setelah menyedari yang Tuanku Sultan berada di Kulim, mereka pun berangkat pula ke Kulim.
                      
Rombongan Diraja Berangkat Ke Sedim

Setelah selesai santapan tengah hari dan berehat sebentar di rumah kediamannya di Bandar Kulim, Tunku lalu memohon izin dari Paduka Ayahandanya untuk membawa mereka semua ke Kampung Sedim yang jaraknya kira-kiranya 33 kilometer dengan Bandar Kulim. Setelah diperkenankan, Tunku lalu mengepalai Rombongan Diraja itu menuju ke Sedim. Mreka tiba di Ladang Dublin Bahagian Tiga jam 3.00 petang. Perjalanan dengan kenderaan tidak dapat diteruskan kerana jalan ke Kampung Sedim tidak memuaskan, tidak seperti keadaan yang wujud sekarang. Lorongnya sempit dipenuhi dengan semak-samun hutan pokok senayan yang banyak duri. Kerana itu sebuah usungan atau pengusung yang diperbuat daripada kayu dan buluh dengan kerusi rotan diikatkan di atasnya terpaksa disediakan untuk Tuanku Sultan. Sementara menunggu siapnya pengusung itu,  Tunku segera berjalan kaki menuju ke Kampung Sedim yang jaraknya kira-kira 1.92 kilometer dari tempat yang bernama Bukit Tuk Basa di kawasan Ladang Dublin Bahagian Tiga itu. Tiba di sana Tunku berbincang lebih dahulu dengan Penghulu Abdul Manaf, mencari sebuah rumah yang sesuai untuk Paduka Ayahandanya bersemayam. Akhirnya, keputusan telah tercapai. Rumah yang diperolehi itu adalah dianggap paling indah dan sesuai. Itulah rumah kepunyaan bekas Penghulu Mukim Sedim, Allahyarham Haji Mohd Yasin (Tuk Ayah) yang waktu itu diduduki oleh Tuk Ayah yang kedua, Encik Abdul Hamid bin Saad dan isterinya Puan Hajah Aishah binti Ahmad. Mereka berdua rela berpindah ke rumah keluarga berdekatan. Tuanku Sultan kemudiannya dinaikkan ke atas usungan kemudian ditandu oleh beberapa orang anak buah Kampung Sedim. Di antara mereka termasuklah Allahyarham Haji Che Mat bin Mat Arif (bekas bilal Masjid Kampung Sedim), Che Pin (Ariffin) bin Kundor, Tuan Haji Salleh bin Awang, Encik Abdul Hamid bin Mohd. Saad, Encik Wahab bin Mahmud, Encik Dahamat bin Taib dan Che Li bin Che Had (bekas Penghulu).

Tuan Haji Salleh Awang dan Che Pin Kundor yang masih hidup, dapat mengingatkan lagi pengalaman-pengalaman yang ditempuhi mereka sewaktu mengusung Tuanku Sultan. Menurut mereka, ketika mengusung bergilir-gilir seramai empat orang itu mereka dapat menatap wajah Tuanku Sultan dengan jelas. Baginda tidak bercakap apa-apa walaupun semut kerengga melata berkeliaran di tangan dan anggotanya yang lain, baginda tidak pula menghiraukan atau menguiskan. Rombongan Diraja yang tiba di Kampung Sedim pada jam enam setengah petang itu disambut oleh penduduk kampung dengan rasa yang amat terharu dan agak terperanjat kerana tidak menyangka sama sekali kampung mereka akan dikunjungi oleh tetamu agung. Raja yang mereka kasihi yang selama ini mereka tidak berpeluang menemui dan menatap wajahnya dari dekat tiba-tiba berada di sisi mereka. Rombongan Diraja ini mengandungi 47 orang semuanya dalam tujuh buah kereta. Disamping Tuanku Sultan yang waktu itu berusia 77 tahun, termasuklah Raja Muda, DYMM Almarhum Sultan Badlishah (berusia 44 tahun) dan kedua orang putera baginda yang masih remaja iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah (berusia 14 tahun), dan Raja Muda sekarang, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Haji Abdul Malik (berusia 12 tahun). Tuanku Sultan bersemayam di rumah yang dipilih khas iaitu yang diduduki oleh Encik Abdul Hamid Mohd Saad dan isterinya Hajah Aishah Ahmad, sementara keluarga diraja serta pembesar-pembesar lain ditempatkan di rumah-rumah lain yang berhampiran.
           
Semasa mula-mula sampai dan bersemayam di atas rumah itu, barulah Tuanku Sultan bertanyakan kepad anakanda baginda Sultan Badlishah tentang nama kampung tersebut. Puteranya menjawab, “Inilah Kampung Sedim, dalam Daerah Kulim.” (Wan Said bin Wan Yusof: 1979, hal. 5). Semenjak tuanku Sultan bersemayam di rumah yang dikhaskan, Encik Abdul Hamid Mohd Saad bersama isterinya Hajah Aishah Ahmad serta penduduk-penduduk lain sentiasa mengabdikan diri mereka dengan memberikan segala pertolongan yang diperlukan.          Penghulu Abdul Manaf memainkan peranan utama dalam mengarah dan menyusun tugas anak buahnya secara bergilir-gilir untuk mengadakan kawalan keselamatan yang ketat sepanjang waktu. Kawalan yang diberikan itu termasuklah semasa Kerabat Diraja berangkat bersiram, bermain-main atau berkelah di Sungai Sedim yang berhampiran dengan kampung itu. Menurut cerita Che Pin Kundor, sebaik-baik Rombongan Diraja berada di kampung itu pada hari pertama, Tunku kembali pada petang itu juga ke Kulim. Keesokan hari, Tunku dating lagi dengan membawa bekalan makanan seperti beras, ikan kering dan lain-lain secukupnya. Mereka memasaknya secara bergilir-gilir. Untuk santapan Tuanku Sultan, ada tukang masak khas yang menyediakannya. Menurut Tuan Haji Salleh Awang dan Che Pin Kundor, Tuanku Sultan ditempatkan di ruang hadapan rumah tersebut. Baginda kelihatan diam sahaja dan sering mengadap ke arah timur. Baginda gemar menghisap rokok daun. Salah seorang Kerabat Diraja yang tinggal bersama-sama di kampung ituialah YTM Datin Hajah Tunku Hamidah yang waktu itu berusia 15 tahun. YTM adalah kekanda Tuanku Sultan Haji Abdul Halim Mu’adzam Shah. Sewaktu ditemubual, YTM menyatakan walaupun negeri berada dalam bahaya peperangan tetapi di Kampung Sedim keadaannya aman dan selamat. Amat seronok tinggal dalam suasana kampung dan masak makan pun cara kampung. Lebih-lebih lagi bila selalu dapat pergi bermain-main di sungai berhampiran kampung itu yang jernih dan sejuk airnya.

Rombongan Diraja Berangkat Pulang Ke Alor Setar


Sekali lagi terdapat perselisihan tarikh mengenai keberangkatan pulang Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan rombongan baginda ke Alor Setar. Dalam buku ‘biografi Tunku’ tarikh yang diberikan ialah pada 17 Disember 1941 (Tan Sri Dato’ Mubin Sheppard: 1984, hal. 79). Ada pula yang mencatat pada 4 Zulhijjah 1360 iaitu bersamaan 22 Disember 1941 (Wan Said Wan Yusof: 1979, hal. 7). Walaupun terdapat percanggahan tarikh ketibaan dan kepulangan Rombongan Diraja tersebut telah berada di Kampung Sedim selama lebih daripad seminggu. Tiga hari sebelum Rombongan Diraja bertolak ke Alor Setar, Tunku didatangi oleh seorang pegawai Jepun bernama Lt. Nakamiai dari MarkasPerkhidmatan Perisik (Fujiwara Kikan) di Alor Setar.
           
Setelah mengetahui maksud kedatangannya, Tunku telah membawa Lt. Nakamiai ke Kampung Sedim menemui Penghulu Abdul Manaf dan Encik Abdul Hamid Mohd Saad. Tunku kemudiannya memberitahu kepada seluruh anak buah Kampung Sedim bahawa atas nasihat dan jaminan dari pihak pentadbir Tentera Jepun, Tuanku Sultan akan berangkat pulang bersemayam di Alor Setar. Che Pin Kundor pula menjelaskan bahawa sepanjang ingatannya, ada dua orang pegawai Tentera Jepun yang datang bersama Tunku pada pagi itu. Seorang daripadanya bernama Shiba yang pernah membuka kedai perniagaannya di Pekan Kulim menjual pelbagai jenis barangan Jepun termasuk beraneka jenis permainan kanak-kanak. Apa yang dijelaskan oleh Che Pin Kundor itu memanglah benar.  Shiba adalah seorang perisik Jepun Di Alor Setar sejak tahun 1936 lagi menyamar di sebalik seorang ahli perniagaan. Di samping memiliki kedai perniagaannya di Bandar Alor Setar, beliau juga mempunyai cawangan perniagaannya di Pekan Kulim seperti yang dijelaskan oleh Che Pin Kundor. Sewaktu Kedah berada di bawah pentadbiran Tentera Jepun, K. Shiba dilantik selaku penasihat kepada Gabenor (Cokan Kakka) Jepun di Kedah  iaitu Mejar Jeneral Sukigawa Seiji. Pada malam terakhir sebelum berangkat pulang barulah baginda bercakap semula setelah mendiamkan diri beberapa lama. Titah baginda, “Esok Beta akan berangkat pulang ke Kampung Baru.” (Wan Said Wan Yusof: 1979, hal. 6). Yang dimaksudkan oleh baginda dengan Kampung Baru itu ialah istananya yang terletak di Jalan Kampung Baru, Alor Setar. Kini bangunan istana itu masih ada lagi dan dijadikan sebagai cawangan kepada Jabatan Pendidikan Negeri. Tibalah pada hari terakhir Rombongan Diraja itu berada di Kampung Sedim. DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah pun dinaikkan ke atas usungan yang lengkap dengan sebuah kerusi rotan di atasnya seperti dahulu. Kemudian ditandu bergilir-gilir ke Bukit Tuk Basa, di kawasan Ladang Dublin Bahagian Tiga. Kenderaan yang akan dinaiki oleh baginda dan Kerabat Diraja lainnya telah siap sedia menunggu di situ. Tidak lama kemudian Angkatan Rombongan Diraja itu pun bertolak kembali ke Alor Setar.         Dengan itu berakhirlah sudah persemayaman DYMM Sultan Abdul Hamid Halim Shah di sebuah rumah di Kampung Sedim selama kira-kira seminggu lebih dalam bulan Disember 1941. Tinggallah Kampung Sedim dan anak buahnya seperti keadaan sediakala. Kalau seminggu sebelum itu mereka menerima kedatangan Rombongan Diraja atau Tetamu Agung itu dengan rasa penuh terharu dan terperanjat besar kerana tidak menyangkanya sama sekali maka sebaik-baik sahaja Rombongan Diraja itu meninggalkan Kampung Sedim, rasa terharu mereka mengimbau kembali diiringi dengan rasa kesedihan dan kesayuan yang tidak terhingga.

Budi Baik Dikenang Jua


Ketika menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang Pertama, pada 12 Januari 1963 YTM Tunku telah mengisytiharkan nama Kampung Sedim menjadi “Kampung Lindungan Raja”. Nama baru ini adalah mengambil sempena dan sebagai membalas budi di atas kawalan dan perlindungan yang diberikan oleh penduduk Kampung Sedim kepada DYMM Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah.
           


SG AIR PUTIH JUNJONG


Sungai Air Putih terletak lebih kurang 8km dari Pekan Junjong dan 16km dari Kulim.  Oleh kerana sungai tersebut melintasi kawasan perkampungan maka kampung tersebut dikenali sebagai Kampung Air Putih.

Mengikut lapuran yang diterima dari seorang wargatua Kampung Air Putih ini iaitu En. Osman bin Jusoh (80 tahun ) atau dikenali dengan “Pak Su” dahulunya kampung ini dikenali dengan nama “ULU CEROK KELIAN”  Sejarah tempat kawasan Air Terjun ini bermula apabila seekor labi-labi putih yang besar terdampar di atas Batu Hampar.  Labi-labi tersebut digelar “SIPUTIH”.  Kerapkali labi-labi yang besarnya luar biasa bermain di kawasan Batu Hampar tersebut lama kelamaan oleh kerana kenakalan budak-budak nakal yang menganggu tempat tersebut maka labi-labi tersebut menghilangkan diri.

“SIPUTIH” hanya tinggal nama, tapi sejarah berulang , kawasan Sungai Air Putih merupakan kawasan “HITAM” pada tahun 40 an dimana kawasan tersebut merupakan markas bagi Kumpulan Komunis yang bergiat aktif dalam kawasan Kedah Selatan.  Pada tahun 1948 pertempuran diantara kumpulan Komunis dan British Army berlaku di sini.  Sejarah Hitam mula tercatat apabila penduduk tempatan menjadi mangsa kepada kekejaman Komunis.  Cuaca menjadi cerah dan aman apabila tahun-tahun 70 an Raja Muda Kedah mulai berminat untuk melawat kawasan air terjun yang indah hasil daripada susah payah penduduk Kampung Air Putih memugar hingga menarik banyak pelancung luar yang datang.  Pada tahun 80 an Kor Jurutera Askar Melayu telah memyumbang tenaga bakti mereka menyerikan kawasan air terjun ini dengan membina pondok-pondok rehat, kolam mandi dan jambatan.  Berduyun-duyun masyarakat kota datang berkunjung tiap-tiap hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan Cuti Umum. 

Era baru telah menjelma, hasil daripada wawasan yang positif daripada JKKK Kampung Air Putih pihak JKKK beserta inisiatif Tuan Penghulu Mukim Junjong, satu Jawatankuasa Pentadbir telah dibentuk yang mana kutipan tempat letak kereta telah dibuat pada tahun 1993.  Hasilnya diagih kepada kerja-kerja membaikpulih, membersih kawasan dan memberi kemudahan kepada para pengunjung dengan mendirikan tempat permainan kanak-kanak dan tandas awam.

“AIR TERJUN JUNJONG” menjadi buah mulut penduduk-penduduk dipersekitaran kawasan Kedah Selatan, Perak Utara dan Kawasan Seberang Prai.  Kedudukannya amat strategik dari segi pertumbuhan perumahan dan kependudukan.  Sungai dan kawasan air terjun masih tidak tercemar.  Keluasan kawasan tadahan ialah 8 kilometer persegi.  Hampur 95 peratus tanaman dusun buah-buahan terdiri daripada pokok durian, rambutan,
cempedak dan manggis.  Walaupun demikian 80 peratus tanaman dimonopoli oleh tanaman durian kerana sesuai dengan tanahnya yang lembab dan berbatu.  Mengujudkan suasana sejuk dan nyaman.  Berbagai-bagai agensi kerajaan telah menyumbang kepada pembangunan Air Terjun Junjong antaranya Pejabat Daerah Kulim, Majlis Daerah Kulim, Pejabat Perhutanan Kulim, Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah Selatan(Kulim) dan lain-lain..  Pada bulan Mac 1994 dengan kerjasama Penghulu Mukim Junjong dan JKKK kawasan Air Putih Junjong menawarkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Kedah Selatan supaya dijadikan Sungai Angkat.  Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain agensi kerajaan merangka pelan Induk untuk pembangunan kawasdan Air Terjun kepada Taman Rekreasi dan “KEMPEN CINTAILAH SUNGAI KITA

Rekreaksi Ulu Paip:-
Sungai yang berjeram dan persekitaran ekosistem hutan.Terletak dalam Hutan simpan Gunung Bungsu. Program/ aktiviti utama yang boleh di lakukan adalah berkelah, mandi-manda, berenang dan perkhemahan. Dalam perjalanan ke destinasi ini,pengunjung juga dapat melihat kawasan dusun buah-buahan dan kawasan bekas lombong yang berbentuk tasik ke kiri kanan jalan. Jarak dari bandar kulim adalah 20 kilometer.
Tree Top Walk


 

Tree Top Walk adalah tarikan baru yang menanti pengunjung. Jabatan besi yang di kenali sebagai Tree Top Walk Sungai Sedim telah di bina tinggi sehingga mencecah kemuncak pokok kayu yang merentas Sungai Sedim.Dari jambatan dapat dinikmati pandangan yang mempersonakan.

Puncak Gunung Bintang:-
Jeram-Jeram dan air terjun turut menghiasi perjalanan semasa mendaki gunung ini. Program utama yang boleh di lakukan adalah merentas denai hutan sambil menyaksikan fauna dan flora, menjelajah gua serta mendaki gunung untuk menikmati panorama indah dari puncak gunung. Ketinggian mencecah 1,862 meter merupakan gunung tertinggidi banjarannya. Dari segi geografi nya puncak Gunung Bintang merupakan batu sempadan  bagi daerah di dua negeri.Ini bermakna sekira pengunjung berjaya sampai ke kemuncaknya, maka mereka telah berada di Daerah Baling dan Daerah Kulim di negeri kedah  dan Daerah Ulu Perak dan Daerah Selama di negeri perakk pada suatu masa yang sama.

Taman Tasik Kulim:-

Terletak di antara terminal pengangkutan awam Bandar Kulim dan Hotel Sri Malaysia. Walaupun Tama tasik ini belum di bangunkan sepenuhnya, namun ia telah berjaya menarik ramai pengunjung. Pengunjung boleh melakukan aktivit berjo gging, dan bersiar dilaluan pejalan kaki yang mengelilingi tasik.